Selasa, 3 Mei 2011

Amalan hutang di sisi agama..

Assalamualaikum


Selamat petang. Apa khabar semua. Moga anda semua sihat sejahtera. Disebelah laptop aku ada ayaq milo panaih. Minum petang sambil merehatkan minda. Di sini aku nak share sesuatu dengan anda semua. Sedar tak sedar kita semua hidup dalam keadaan berhutang. Semua perkara dilakukan dengan bergantung dengan hutang. Nak belajar pon berhutang. Inikan pula nak membeli kereta, rumah dan sebagainya. terfikirkah kita? Macam aku. Sebagai contoh, aku belajar namun telah meminjam kepada PTPTN! Ini merupakan satu konteks hutang di dalam pendidikan.KEADAAN umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. 


Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi. Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan. 


Mari sama-sama kita pelajari pandangan Islam dalam hal hutang. 
Nabi Muhammad SAW bersabda: 
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38)

 Sebagaimana sabda Rasulullah:
 “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83) 


Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: 
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214) 


sebuah hadis lain, ertinya: 
“Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang.” Mendengar itu, seseorang bertanya, “Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang, wahai Rasulullah?” “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat An-Nasaie, 2/316; Ahmad 3/38; Al-Hakim berkata sahih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhoif) 

Ini jelas aktiviti berhutang kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh.

Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Ia seperti berikut:

1. Kad kredit: Jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain isu riba yang hampir dengan kad kredit, ia menggalakkan hutang secara berlebihan. Malah, jika seseorang ingin menggunakannya, dinasihatkan supaya digunakan untuk memudahkan urusan pada saat yang benar-benar terdesak. Adalah lebih baik menggunakan ‘charge card’ atau ‘debit card’ saja. Jauhkan diri daripada ketagihan penggunaan kad kredit.

2. Pinjaman peribadi: Ini satu lagi produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei.

Apapun, kebiasaannya kadar dikenakan tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang sangat mendesak perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

3. Perumahan dan kereta: Dua item ini mungkin keperluan asas bagi kebanyakan individu. Bagi saya, seelok-eloknya hutang peribadi kita dihadkan kepada dua jenis ini saja. Itupun mesti menilai kemampuan kewangan dengan sebaik-baiknya supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional disepakati haram oleh seluruh ulama dunia.

4. Umrah dan haji sunat (kali kedua): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanya sekali. Justeru, umat Islam perlu memahami keutamaan atau ‘awlawiyyat’ di dalam pengendalian wang peribadi.

Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk ke umrah dan haji kali kedua lebih baik dan besar pahalanya jika disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi.Malangnya, ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.



Situasi diatas sememang sudah menjadi kemestian oleh pihak kita. Kalau difikir secara logik, memanglah kita semua tidak mampu untuk membeli kenderaan seperti kereta dengan membayar secara tunai. Tanpa hutang pada waktu kini, amat sukar untuk kita semua mendapatkan sesuatu.


Apa yang aku tulis ini ada berdasarkan pembacaan aku di HMETRO. Terfikir untuk aku berkongsi dengan anda semua agar kita semua perlu berfikir dengan sewajarnya sebelum melakukan sesuatu perkara

Tiada ulasan: